Wednesday, August 27, 2008

Kalah di Permatang Pauh, BN dimakan sumpah sendiri

Saya sifatkan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh akibat dimakan sumpah yang dijaja oleh mereka sendiri.

"Di Permatang Pauh BN asyik bersumpah dan Najib juga sering saja bersumpah ketika berkempen dan akibatnya mereka kalah teruk,"

Rakyat Permatang Pauh yang mewakili rakyat Malaysia keseluruhannya telah menolak budaya politik fitnah yang menjadi amalan Umno-BN.

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno telah meminta pengundi di Permatang Pauh agar menolak budaya politik fitnah dan seruan Perdana Menteri itu disahut oleh mereka dengan memberikan kemenangan kepada calon yang mewakili Pakatan Rakyat.

"Abdullah minta rakyat tolak budaya politik fitnah tetapi beliau sendiri tidak menunjukkan kesungguhan untuk membanteras amalan kotor yang dibawakan oleh jentera kempen BN yang diketuai oleh Najib,"

Kemenangan besar calon Pakatan Rakyat juga kata beliau membuktikan bahawa rakyat negara ini sudah menolak politik yang tidak beretika yang dibawa oleh BN dan parti yang semakin parah itu terpaksa menerima hakikat bahawa mereka semakin ditolak oleh rakyat.
suasana baru diperolehi dalam pilihan raya kecil ini kerana pengundi menggunakan kematangan mereka untuk memilih calon yang layak dan tidak menggunakan emosi.

"Lebih penting lagi kemenangan Anwar membuktikan harapan rakyat untuk melihat perubahan landskap politik di negara ini,"

"Abdullah dan Najib sudah sewajarnya meletakan jawatan kerana keduanya telah terbukti gagal,"

"Langkah pertama mereka dengan segala fitnah terhadap Anwar sudah gagal dan kita lihat mereka sedang berusaha untuk menggunakan langkah kedua bagi menghalang Anwar dari memasuki Parlimen,"

Pertuduhan liwat terhadap Anwar akan didengar pada September nanti dan besar kemungkinan Anwar tidak dibenarkan ikat jamin maka Penasihat KeADILan itu akan dipenjara sementara menunggu selesai perbincaraan dan ianya akan memakan masa yang lama dan akan mengagalkan usaha membentuk sebuah kerajaan baru.

"Kita melihat ada kecenderungan ke arah itu dan kita juga bimbang jika Anwar dinafikan haknya untuk mengangkat sumpah secepat mungkin,"

Tiada alasan untuk melambat-lambatkan majlis angkat sumpah Anwar selaku ahli parlimen kerana jika laporan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kepada speaker dijadikan alasan ianya tidak masuk akal kerana keputusan yang dikeluarkan oleh SPR pada malam 27 Ogos sudah boleh diterima pakai.

"Selaku speaker, Pandikar Amin harus bertindak wajar agar beliau dilihat berwibawa dan tidak berat sebelah,"

Monday, August 25, 2008

Punggung Saiful talian hayat Umno?

Semakin hampir berlangsungnya pilihan raya kecil Permatang Pauh, semakin kuat Umno memperlihatkan pergantungannya kepada punggung Mohd Saiful Bukhari Azlan untuk menghadapi pilihan raya itu .

"Umno seolah-olah menjadikan punggung Saiful sebagai talian hayatnya,"

"Umno begitu mabuk dengan tuduhan liwat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh. Kepentingan rakyat dan negara semuanya seolah-olah diletakkan pada kedudukan nombor 50 atau nombor 60. Mabuk nombor satu Umno ialah tuduhan liwat,"

Saya sifatkan tindakan Umno itu akan menghakiskan lagi kepercayaan rakyat kepada parti itu.

"Nampaknya Umno dalam keadaan sangat tertekan dan tidak berupaya membersihkan segala kekotoran mereka. Keputusan rakyat (dalam pilihan raya 8 Mac lalu) langsung tak jadi teladan.

"Umno seolah-olah begitu asyik dengan pembohongan, tuduhan yang zalim dan fitnah,"

"Mengapa Umno begitu terdesak sehingga menggunakan punggung yang busuk untuk menyembunyikan penyalahgunaan kuasa dan perbuatan kotor?" beliau mempersoalkan sambil menegaskan kezaliman tidak boleh ditutup dengan kebusukan yang jelek.

Thursday, August 7, 2008

Blogger ( Penarik Beca ) Di Tahan Polis

Blogger yang menggendalikan blog Penarik Beca, ditahan polis malam tadi.

Menurut isterinya, empat orang polis datang kerumah mereka dan menahan Bakar (nama sebenar Penarik Beca) bersama-sama dengan telefon bimbit dan laptopnya.

Hanifah Maidin, peguam yang akan mewakili Bakar menghubungi polis sebentar tadi dan disahkan bahawa Bakar a.k.a Penarik Beca ditahan dibawah Akta Hasutan.

Kepada rakan-rakan blogger dan pembaca blog, marilah kita menyatakan sokongan kepada Bakar dan tidak akan tunduk diatas segala tekanan yang diberikan oleh pemerintah terhadap blogger!

Saya sendiri turut bersimpati dengan apa yang telah berlaku pada beliau dan saya berdoa agar semua akan jadi seperti sedia kala serta meminta keluarga beliau bertenang dan banyakkan berdoa

SPR berniat jahat, tarikh buang undi Permatang Pauh pada hari bekerja?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa berniat jahat kerana menetapkan hari bekerja, Selasa 26 Ogos sebagai tarikh pembuangan undi bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Tindakan SPR ini sekali lagi mencetus kebimbangan kepada semua pihak terutamanya pengundi berdaftar di Permatang Pauh yang rata-ratanya golongan pekerja.

"Saya bimbang ini satu lagi taktik untuk mengurangkan peratusan keluar mengundi dalam agenda Umno-BN memastikan undi kepada Pakatan Rakyat berkurangan seklaigus boleh dijadikan bahan kononnya sokongan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim berkurangan,"


Penetapan tarikh pembuangan undi itu hanya akan menyusahkan pengundi yang duduk di Permatang Pauh tetapi bekerja di Butterworth; Georgetown atau Balik Pulau. "Jika mereka (pengundi yang bekerja di bahagian pulau) tidak mendapat cuti, bagaimana mereka hendak membuang undi dengan hanya pulang pada waktu rehat yang hanya ada masa satu jam untuk menunaikan kewajiban mereka sedangkan perjalanan dari bahagian pulau ke Permatang Pauh mengambil masa yang lama,"

Sikap berdiam diri Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap tindakan SPR yang mengkhianati rakyat itu membayangkan adanya konspirasi dalam penentuan tarikh tersebut. Saya meminta SPR mengkaji semula penetapan tarikh itu dan mengubahnya kepada hari cuti bagi membolehkan semua pengundi menunaikan tanggungjawab

MUZAKARAH: SENJATA UMNO TIDAK MENJADI

KEGAWATAN politik Umno telah mengundang satu strategi jahat untuk memerangkap, sekali gus menghuru-harakan politik Pakatan Rakyat. Ketika rakyat sedang sibuk memperkatakan ketidakwajaran Kerajaan BN menaikkan harga minyak sehingga 41 peratus, tiba-tiba ada seseorang tanpa rasa malu dan jijik mengaku diliwat, tetapi gagal membawa empat orang saksi. Selang beberapa hari, penyiasat persendirian yang diupah oleh Razak Baginda telah membuat akuan bersumpah bahawa seorang lagi saingan Abdullah Badawi, Najib Razak juga terpalit dengan skandal seks Altantuya. Dilaporkan bahawa perakuan bersumpah turut menyebut tentang aktiviti liwat juga. Kecoh seketika kerana isu harga minyak telah bertukar menjadi isu liwat melibatkan dua orang calon Perdana Menteri!

Dengan tak semena-mena tiba-tiba Abdullah Badawi membuat akuan kepada media bahawa beliau telah tiga kali bermuzakarah dengan PAS yang diwakili oleh ‘decision making’nya. Politik negara berubah sama sekali. Harga minyak sudah tidak menjadi isu. Kes liwat juga turut lesu. Tumpuan beralih kepada PAS. Semua mata melihat kepada PAS. Sebagai pemimpin PAS, seolah-olah saya sedang bersalah – diperhatikan orang ke mana sahaja. Saya sedar rakyat tertanya-tanya apakah benar PAS akan ‘rujuk’ semula dengan Umno untuk berkongsi kuasa setelah bercerai talak tiga pada 1977. Mungkin ada yang berfikir tidak mustahil, kerana PAS sudah biasa ‘berkahwin’ dengan S46, DAP dan PKR selepas itu. Tetapi saya sendiri masih berkeras bahawa tidak siuman jika ada yang beranggapan sedemikian terhadap PAS.

Saya amat berterima kasih kepada ahli-ahli dan penyokong PAS yang segera memberikan respon terhadap persoalan yang berlaku. Inilah satu sikap terpuji ahli-ahli dan penyokong PAS yang tidak mahu parti ini tersalah pilih jalan. Soal benar atau tidak pendirian ahli-ahli PAS, itu menjadi soal yang kedua. Yang utama ialah mereka dengan ikhlas hati mengingatkan PAS supaya tidak terjebak dengan permainan politik kotor Umno/BN yang sedang terdesak itu. Saya tabik kepada mereka yang ikhlas memberikan ingatan ini, dan mungkin berkat keikhlasan itulah serta doa ahli-ahli PAS yang ditindas oleh Umno, maka strategi jahat Umno tidak menjadi. Syabas saya ucapkan.

Sebenarnya pimpinan PAS amat sedar bahawa Umno telah cuba menjerat PAS dalam percaturan politik ini. Umno mempelawa PAS untuk berjumpa, kata Abdullah Badawi untuk “kepentingan Islam dan ketuanan Melayu”. PAS bersedia hadir untuk mendengar luahan hati ‘orang sakit’ Umno. Rupanya, di sebalik persoalan kepentingan Islam dan ketuanan Melayu itu, secara senyap-senyap mereka menawarkan PAS untuk membentuk pakatan politik baru, kononnya untuk memperkukuhkan ketuanan Melayu. Dulu, ketika mereka kuat, mengapa ketuanan itu tidak diteguhkan? Sebaliknya, siapa yang mencabul kedaulatan Raja-raja Melayu? Siapa yang menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris? Siapa yang menggadai tanah rezab Melayu? Siapa yang menafikan biasiswa untuk orang Melayu? Dan siapa… siapa… siapa… yang membuatkan orang Melayu kehilangan ketuanan?

Kita tahu Umno tidak ikhlas dalam soal ini. Mereka mencari PAS bila terdesak. Dahulu Khir Toyo yang menjaja slogan pembangkang sifar, tetapi bila terdesak dialah yang pertama mencari PAS. Khir Toyo mengaku sendiri bahawa dia berusaha menawarkan kepada pimpinan PAS jawatan MB dan exco jika bersetuju membentuk kerajaan campuran dengan Umno. Tajol Rosli Ghazali dan Adnan Yaakub muncul kemudian selepas Abdullah Badawi mendedahkannya. Ikhlaskah Abdullah Badawi untuk bekerjasama dengan PAS apabila melontarkan isu ini untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap kedudukan beliau yang sedang tercabar.

Abdullah Badawi amat tergugat dengan perkembangan terkini dalam Umno. Walaupun pelan peralihan telah diumumkan, rata-rata ahli Umno sepakat dengan pandangan Yong Teck Lee bahawa kepemimpinan Abdullah Badawi sudah tidak boleh dipercayai. Cawangan-cawangan sudah mencalonkan Najib, Muhyiddin Yasin dan Tengku Razaliegh Hamzah sebagai bakal Presiden Umno, walaupun MT Umno sudah menutup ruang demokrasi untuk mencabar presiden itu. Inilah kegawatan dalaman yang menjadi ketakutan Abdullah Badawi. Di luar Umno, kemaraan Anwar Ibrahim amat menggerunkan walaupun isu liwat cuba dipalitkan. Najib yang menjadi pencabar utama juga tercemar.

Abdullah Badawi tidak ada pilihan melainkan memecahkan Pakatan Rakyat. Dia sedar jika 22 orang ahli Parlimen PAS menykong BN, maka kuasa dua pertiga akan mereka perolehi kembali. Jika PAS menyokong BN, tidak akan ada lompat-melompat lagi di Sabah dan Sarawak. Jika PAS menyokong BN, Pakatan Rakyat akan pecah dan runtuhlah kerajaan di Selangor, Perak dan Kedah. Itulah bacaan Abdullah Badawi sebagai teori untuk mengekalkan kuasanya. Kerana itu, dia segera memberitahu media bahawa PAS sedang bermuzakarah dengan Umno, dan media menggambarkan bahawa satu pakatan politik baru akan diwujudkan antara PAS dengan BN. Kerana itu, ahli-ahli dan penyokong PAS segera memberikan tindak balas.

Saya amat bersyukur apabila pimpinan PAS yang membuat keputusan pada minggu lepas mengambil langkah paling bijak iaitu menolak kerjasama kongsi-kuasa dengan BN. Sebelum ini, walaupun desas-desus sudah tersebar tentang pertemuan PAS-Umno, tetapi pimpinan PAS belum mengambil sebarang keputusan. Pimpinan tertinggi sekadar tunggu dan lihat sikap Umno tanpa memberikan sebarang keputusan. Walaupun Umno cuba menggambarkan bahawa PAS begitu positif dengan kerjasama ini, ia sebetulnya belum dibuat sebarang keputusan, bahkan PAS belum pernah membincangkannya lagi. Kerana itu, silap jika kita mengatakan PAS telah berubah hati terhadap Pakatan Rakyat.

Mungkin ramai juga ahli PAS memberi komen bahawa ahli dan penyokong PAS jangan tergesa-gesa mempercayai media masa milik Umno. Perkara ini tidak boleh dirumuskan dengan emosi, tetapi dengan akal yang waras. Tetapi sebagai pimpinan, saya terbuka dalam meraikan pandangan balas ahli-ahli. Saya sendiri mempunyai pendirian bahawa kemarahan sesetengah ahli PAS adalah berdasarkan maklumat sebelah pihak – media Umno. PAS walau bagaimanapun, apabila membincangkan perkara ini, mengambil kira kritikan, pandangan, teguran dan sungutan ahli-ahli yang kita percaya dibuat dengan ikhlas. Dan PAS dengan tegas menyatakan pendirian untuk tidak berkongsi-kuasa dengan Umno dalam perkara ini. PAS juga bertegas serta penuh yakin bahawa kerjasama dengan Pakatan Rakyat mesti diperkasakan dan ianya mampu membawa perubahan yang lebih baik untuk masa depan negara dan rakyat Malaysia.

Dengan berakhirnya isu muzakarah ini, maka strategi licik Umno untuk memerangkap PAS dalam jerat politik sempit itu telah gagal. Umno akan terus mereput dalam kubang politik yang dibinanya sendiri, penuh dengan selut dan kotoran rasuah, nepotisme, salah guna kuasa, dengki, iri hati dan kesumat. Biarlah Umno terkubur sendiri dalam drama yang mereka sendiri plotkan. PAS sekarang telah berjaya keluar daripada jerangkap samar itu. Kini, masa PAS untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat tanpa menoleh kebelakang lagi. PAS perlu terus mara, maju ke hadapan untuk membina sebuah negara yang adil, telus dan berkebajikan.

Komponen Pakatan Rakyat pada masa ini perlu memberikan tumpuan kepada pilihan raya kecil di Permatang Pauh kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di sana. Tidak ada masa lagi untuk kita bercakaran atau membangkitkan isu-isu remeh-temeh yang boleh diselesai di meja rundingan. Tumpuan utama PAS sekarang ialah mengukuhkan kerjasama Pakatan Rakyat, dan Permatang Pauh adalah gelanggang terbaik untuk PAS buktikan. Saya menyeru seluruh pimpinan dan ahli PAS supaya turun menggempur Permatang Pauh bagi menamatkan riwayat politik BN di negara ini. Dan Permatang Pauh patut mencatatkan sejarah tentang komitmen PAS untuk terus bersama Pakatan Rakyat, bukan seperti yang dimomokan oleh media pelacur politik.

Saya bergembira apabila Sidang Kemuncak Kerajaan Pakatan Rakyat akan diadakan di Kota Bharu dalam masa terdekat ini. Ia adalah satu perkembangan yang amat positif dalam mengukuhkan pakatan ini, sekaligus meningkatkan keupayaan kerajaan di lima buah negeri Pakatan Rakyat ini. Rakyat juga perlu terus memberikan sokongan padu kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk terus membangunkan negeri-negeri ini serta membela kepentingan rakyat. Kita lupakan sahaja hikayat yang cuba dilakarkan oleh Umno yang mahu mengaitkan PAS dengan tujuan melemahkan Pakatan Rakyat. Hari ini kita sama-sama berpegang dengan janji PAS untuk terus komited dengan perjuangan rakyat!

Friday, August 1, 2008

Seluruh jentera pilihan raya PAS bantu Anwar di Permatang Pauh

PAS akan menggerakkan jentera parti itu di seluruh negara bagi membantu Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim memenangi semula kerusi Parlimen Permatang Pauh setelah dikosongkan oleh penyandangnya, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden KeAdilan

"Saya percaya, pengundi Permatang Pauh tidak ada masalah dengan Anwar yang sinonim dengan kawasan tersebut,"

Saya memberi jaminan, sekalipun pilihan raya kecil itu diadakan pada bulan Ramadhan, PAS akan tetap menurunkan jentera pilihan raya bagi memastikan calon BN yang bertanding, tumpas ditangan Anwar.

"Itu juga satu motivasi untuk kita bekerja dengan lebih kuat bagi mempastikan kemenangan,"

Saya berharap pilihan raya tersebut akan berjalan dengan baik dan lancar, tanpa sebarang provokasi dan insiden yang tidak diingini berlaku.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga, perlu berlaku adil dan telus dalam menangani sebarang isu yang boleh menghalang Anwar dari bertanding.

Saya memuji pengorbanan Wan Azizah yang bersedia mengosongkan kerusi Permatang Pauh bagi memberi laluan Pakatan Rakyat berkuasa memerintah selepas ini, dengan kemenangan yang bakal dijana oleh Anwar di kawasan tersebut.